Rosman Shamsudin


Slim River: Empat guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Sukarelawan Cikgu (SSC) bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Mereka terdiri, J Sivarajan, 33, dan I Kutty Krishnan, 48, dari SJKT Ladang Lima Blas, Slim River, M Vijayakumar, 34, dari SJKT Bukit Beruntung, Hulu Selangor serta J Mohana, 29, yang mengajar di SJKT Ladang Escort, Hulu Bernam.

Kutty Krishnan berkata, idea menubuhkan SSC dicetuskan beliau sebelum mempelawa tiga guru yang juga rakan untuk menyertai skuad terbabit.

Katanya, skuad itu ditubuhkan sejak empat tahun lalu dan dana kewangan diperolehi daripada potongan gaji mereka sebanyak RM50 sebulan.

"Wang terkumpul itu disimpan oleh bendahari yang dilantik dan setiap kali musim perayaan maka wang itu digunakan untuk membeli barang keperluan asas.

"Penerima yang dikenal pasti terdiri daripada orang miskin yang diberikan bantuan barangan keperluan asas bernilai RM200 sekeluarga," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Sempena sambutan Krismas, SSC hari ini menyampaikan sumbangan kepada 10 penerima terdiri daripada enam di Hulu Selangor, Selangor dan empat di daerah Muallim, Perak.

Sementara itu, Sivarajan berkata, sumbangan kecil daripada gaji seorang guru tidak sesekali menjejaskan pendapatan mereka malah menimbulkan rasa keinsafan.

Katanya, hubungan guru dengan masyarakat setempat memang tidak dapat dipisahkan dan kedua-duanya saling memerlukan terutama dalam meningkatkan pencapaian akademik murid.

"Inilah salah satu kaedah untuk mendekati masyarakat setempat yang boleh memberi impak positif dalam jangka masa panjang.

"Usaha kami diharapkan mampu membuka mata masyarakat bahawa nilai murni yang terdapat pada seorang guru masih menebal," katanya.

Katanya, usaha itu diharapkan mampu mengurangkan beban golongan kurang mampu bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka seharian.

KHIDMAT bakti empat guru SJKT menggunakan pacuan empat roda bagi menyampaikan bantuan. Rosman Shamsudin
KHIDMAT bakti empat guru SJKT menggunakan pacuan empat roda bagi menyampaikan bantuan. Rosman Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 3:56 PM