DJ Dave (tengah) bersama barisan artis veteran yang menerima sumbangan YKAT, hari ini.
DJ Dave (tengah) bersama barisan artis veteran yang menerima sumbangan YKAT, hari ini.
Najiy Jefri


SERAMAI 16 artis veteran menerima sumbangan RM2,000 setiap seorang daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) sempena sambutan Deepavali yang akan disambut November ini.

Pengerusi YKAT Datuk Irwan Shah atau lebih dikenali DJ Dave berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan termasuk sambutan Deepavali.

“Ini adalah misi sebenar YKAT bagi membantu meringankan beban golongan artis veteran yang mempunyai masalah seperti penyakit, kesempitan hidup dan sebagainya.

“Tahun ini kami memperuntukkan RM32,000 kepada 16 artis veteran yang terdiri daripada pelbagai bangsa sempena sambutan Deepavali.

“Kami sentiasa prihatin dan akan terus memperjuangkan nasib penggiat seni tanah air,” katanya.

Antara artis yang menerima sumbangan ialah Datuk Jamaludin Elias, Kamarulzaman Ahmad Ramli, Harcharan Singh Guzar Singh, Kali Salvan Velu, Mohideen Shab Mohamad, Pasupathy TN Dorairaj dan Subraniam Sankaran.

Dalam majlis sama, YKAT turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga komposer Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah yang meninggal dunia pada 25 September lalu akibat serangan jantung.

Sumbangan diterima anak Allahyarham iaitu Megat Mohd Syahraini dan Siti Nur Syafrina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 10:20 PM