GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya berkuat kuasa semalam.

Perintah pembatalan itu melibatkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah; serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak.

Turut dibatalkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022) dan Proklamasi Darurat (No. 3) (Pembatalan) 2022 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

Dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 6 Oktober yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara, pembatalan itu berikutan Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa keperluan kesemua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan yang diisytiharkan susulan wabak penyakit berjangkit Covid-19 telah berakhir.

Pembatalan semua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan mengikut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (1) dan (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Warta Kerajaan Persekutuan itu turut menyatakan perkara terbabit akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong perkenan isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi berkuat kuasa 18 November 2020 serta Parlimen Gerik dan DUN Bugaya masing-masing berkuat kuasa 12 Disember 2020 untuk membendung penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 11:40 AM