Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan hari ini mengesahkan Proklamasi Darurat tidak akan disambung selepas tamat 1 Ogos ini.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat, hari ini.

"Saya ingin sahkan hari ini dan saya tetakluk jika tidak bercakap benar bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu selepas 1 Ogos ini.

"Kerajaan juga membuat keputusan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang sudah dibuat semasa Proklamasi Darurat," katanya, hari ini.

Takiyuddin berkata, enam Ordinan Darurat yang dikuat kuasakan sebelum ini dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Katanya, pembatalan itu menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit.

Ordinan Darurat terbabit adalah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Namun, ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedan memberi penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), Ahli Parlimen pembangkang sekali lagi bangkit mencelah mengenai isu Proklamasi dan Ordinan Darurat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) tampil bangun meminta penjelasan lanjut mengenai pembatalan Ordinan Darurat.

"Penjelasan diberikan menteri itu saya terima tapi perlu ada prosesnya," katanya.

Negara melaksanakan Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos depan dalam usaha membendung penularan Covid-19 di Malaysia.

Proklamasi Darurat itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas diperdengarkan cadangan daripada Kabinet

Sepanjang tempoh ini, pilihan raya umum (PRU) mahupun pilihan raya kecil tidak akan diadakan manakala Parlimen dan Sidang Undangan Negeri juga ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 12:16 PM