DATUK Hajiji Noor (tiga kanan) bersama Datuk Masidi Manjun (tiga kiri); Rusdin Riman (dua kanan); Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (kanan) dan Jasni Daya (dua kiri) meneliti dokumen Belanjawan Sabah 2021. FOTO ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
DATUK Hajiji Noor (tiga kanan) bersama Datuk Masidi Manjun (tiga kiri); Rusdin Riman (dua kanan); Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (kanan) dan Jasni Daya (dua kiri) meneliti dokumen Belanjawan Sabah 2021. FOTO ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) demi membendung penularan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor pada kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyifatkan keputusan itu adalah bijak selepas mempertimbangkan penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat Sabah.

"Kita mahu menghentikan penularan Covid-19, melandaikan lekuk pandemik dan paling penting, menyelamatkan nyawa," katanya.

Hari ini, media melaporkan, baginda berkenan mengisytiharkan darurat terhadap Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah bagi mengelak PRK dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Pengisytiharan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap dua kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan, pihaknya akur dengan pengumuman pengisytiharan Proklamasi Darurat membabitkan DUN Bugaya serta Parlimen Gerik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:11 PM