Faizul Azlan Razak

Kuala Nerus: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil 12 orang saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua saksi yang dipanggil itu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, beberapa lagi saksi yang akan dipanggil termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Saya tidak nafikan, beliau (Muhammad Sanusi) juga akan dipanggil kerana surat berhubung perlombongan yang tular itu ditandatangani oleh beliau.

"Antara yang kita akan tanya perkara itulah, sebab surat itu tular. Kalau betul, betullah dan jika tidak betul beliau kena nyatakan.

"Bila Muhammad Sanusi akan dipanggil, kita belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyiasat dan mereka akan tentukan bila akan dipanggil," katanya selepas Program Cakna Rasuah SPRM bersama Media Zon Timur di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid; Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim dan Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki  bercakap pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Raia Hotel. FOTO GHAZALI KORI
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Raia Hotel. FOTO GHAZALI KORI

Azam berkata, pihaknya juga sedang mengesan beberapa individu dari China bagi membantu siasatan.

"Saksi yang kita sedang kesan ini dikatakan membuat pelaburan dalam perlombongan REE ini dan pegawai penyiasat sedang mengesan mereka.

"Malah, sesiapa saja yang kita rasakan perlu panggil untuk dirakam percakapan, kita akan panggil tidak kira siapa, cuma cepat atau lambat saja," katanya.

Ditanya sama ada SPRM ditekan dan ia ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN), Azam menepis dakwaan itu dan memaklumkan ia tiada kaitan langsung dengan PRN.

"Tidak ada sesiapa yang menekan kami dalam kes REE ini dan kes ini juga tidak ada kaitan dengan PRN," katanya.

Semalam, SPRM menahan seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi membantu siasatan kes membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta.

Suspek yang ditahan masing-masing berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara serta direman tiga hari bermula semalam hingga 21 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 4:09 PM