Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah berperanan sebagai institusi bebas meskipun tidak diletakkan di bawah Parlimen seperti diusulkan beberapa pihak sebelum ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berpandangan, cadangan itu dikhuatiri akan menyebabkan SPRM terikat atau terpaksa mengikut arahan yang ditetapkan oleh ahli politik.

"Kalau SPRM berada di bawah Parlimen saya menjangkakan akan berlaku kemungkinan terpaksa mengikut arahan prosedur tertentu yang ditetapkan oleh orang politik sedangkan ada pihak menyatakan kita perlulah bebas daripada tekanan politik.

"Saya sebelum ini juga pernah mendapat kiriman mesej daripada seorang menteri kanan yang bertanya adakah SPRM sedang menyiasat beliau. Saya cuma balas 'ya, terima kasih', setakat itu saja.

"Dalam siasatan kes Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) misalnya, ramai individu berprofil tinggi dinamakan, adakah saya perlu tanya mereka terlebih dulu sebelum membuka kertas siasatan? Kita tidak pernah tanya dan ini menunjukkan kebebasan kita," katanya selepas sesi dialog Program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Zon Utara di sini, hari ini.

AZAM Baki. FOTO Arkib NSTP.
AZAM Baki. FOTO Arkib NSTP.

Azam berkata, sudah terdapat negara meletakkan agensi pencegahan rasuah mereka di bawah Parlimen dan beliau mendapati badan berkenaan perlu mendapat kebenaran sebelum memulakan sesuatu siasatan.

"Saya tidak mahu menamakan mana-mana negara yang letakkan (badan pencegahan rasuah) di bawah Parlimen atau senat, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Parlimen sebelum memulakan sesuatu siasatan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa SPRM adalah institusi yang telus dengan enam badan bebas memantaunya termasuk membabitkan jawatankuasa pada peringkat Parlimen untuk memastikan proses semak dan imbang berlaku.

"Bagaimanapun, kami tetap terbuka jika penggubal undang-undang mahu membuat perubahan di Parlimen (jika ia membabitkan kedudukan SPRM)," katanya.

Menurutnya, SPRM turut boleh dilihat sebagai bebas meskipun tidak diletakkan di bawah Parlimen jika cadangan yang digariskan menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata, ini termasuk memastikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dilantik secara sewenang-wenangnya sebaliknya menerusi perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 8:55 PM