DUA beradik perempuan yang meninggal dunia akibat kemalangan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pial, Bedong dekat sini hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
DUA beradik perempuan yang meninggal dunia akibat kemalangan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pial, Bedong dekat sini hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Dua beradik perempuan yang parah selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Layar Hujung, semalam meninggal dunia hari ini.

Kedua-dua beradik itu dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) hari ini.

Mangsa pertama iaitu penunggang motosikal berusia 23 tahun dilaporkan meninggal dunia jam 12.45 tengah malam tadi.

Ketika urusan bedah siasat dilakukan, adiknya yang juga pembonceng motosikal berusia 18 tahun dilaporkan meninggal dunia jam 10.35 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan kematian dua mangsa berkenaan.

"Penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSAH.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Jenazah dua beradik berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pial selepas solat Asar, hari ini dengan bantuan khidmat Skuad Hang Cangkul Murtadha Dakwah Centre (Madad).

Portal Harian Metro malam tadi melaporkan dua beradik perempuan parah selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Layar Hujung, dekat sini.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, mangsa penunggang berusia 23 tahun dan adiknya berusia 18 tahun yang juga pembonceng masing-masing mengalami kecederaan dalam badan serta parah di kepala.

Berita berkaitan:

  • Lampu isyarat rosak, dua beradik parah
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 7:19 PM