Zawiyah menunjukkan berita kematian seorang anggota tentera pada akhbar yang membungkus kain batik  dibeli anaknya yang maut dalam kemalangan, kelmarin.
Zawiyah menunjukkan berita kematian seorang anggota tentera pada akhbar yang membungkus kain batik dibeli anaknya yang maut dalam kemalangan, kelmarin.
Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Kepulangan seorang anggota tentera untuk menyerahkan kain batik berwarna merah kepada ibunya menjadi hadiah terakhir apabila mangsa maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Semeling-Merbok, di sini, kelmarin.

Lebih memilukan, mangsa, Mohd Amirul Mat Rashid, 23, yang bertugas di Batalion 17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para di Kem Terendak, Melaka, membalut kain batik itu menggunakan kertas akhbar lama tertera berita seorang anggota tentera mati dipanah petir.

Kejadian berlaku jam 9.50 malam ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 bersama dua lagi penunggang dan pembonceng motosikal sedang berhenti di lampu isyarat berkenaan.

Bagaimanapun, kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita hilang kawalan lalu merempuh mangsa dan dua penunggang lain selepas gagal mengelak kenderaan lain mengakibatkan mangsa melambung sebelum jatuh di atas jalan, manakala motosikalnya terperosok di bawah kereta itu.

Akiba rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian berikutan cedera parah di kepala, manakala tiga penunggang dan seorang pembonceng yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan.

Ibu mangsa, Zawiyah Alias, 51, berkata, hatinya sebak apabila melihat kain batik yang ditemui ketika memeriksa beg pakaian yang dibawa pulang anaknya, namun mangsa tidak sempat memberikan kepadanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka arwah membeli kain batik kerana sebaik tiba di rumah di Taman Malinja, Semeling, jam 8.40 malam dari rumah neneknya di Tanjung Piandang, Perak, anaknya itu memaklumkan mahu keluar membeli burger.

Katanya, sebelum keluar, arwah bersalam dengan bapanya, Mat Rashid Saad, 48, dan dilihat menatap lama wajah bapanya sehingga membuatkan dia curiga.

“Saya bergurau dengan arwah sambil bertanya kenapa dah tak kenal ayah sebab dah jadi hitam kerana kerja tengah panas. Arwah hanya ketawa lalu memberitahu mahu pulang semula ke Tanjung Piandang malam tadi (kelmarin) juga, tetapi mahu makan burger abang Hashimi (Rahim) dulu.

“Bagaimanapun, ayahnya menerima panggilan telefon memberitahu Amirul terbabit dalam kemalangan jam 10 malam sebelum kami bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, saya dan suami sedih apabila melihat tubuh Amirul sudah kaku di tepi kereta ditutupi akhbar,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSAH, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Khalil Ariffin mengesahkan kejadian berkenaan berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi mangsa dikejarkan ke HSAH untuk rawatan.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 8:16 AM