Suami isteri yang maut dipercayai digilis lori. FOTO ihsan pembaca
Suami isteri yang maut dipercayai digilis lori. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Menyayat hati apabila suami isteri meninggal dunia dalam keadaan berpelukan selepas dipercayai digilis lori dalam kemalangan di Kilometer 56.3 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran persimpangan lampu isyarat stesen minyak Shell Tapah, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 7.50 pagi itu, pasangan berkenaan dikenali sebagai Nor Hasan, 51 dan isterinya Siti Aisyah, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah terutama di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, kemalangan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha Lagenda dengan lori pasir tanpa muatan.

Menurutnya, suami isteri yang meninggal dunia itu adalah warga Indonesia dan menyewa rumah di Taman Sri Damai, di sini.

Katanya, si suami bekerja sebagai tukang rumah manakala isteri pembantu kedai makan.

"Kemalangan berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran Shell Tapah dan siasatan awal mendapati ia berlaku semasa kedua-dua kenderaan yang dalam perjalanan dari arah Tapah menuju ke arah Temoh, di sini sebelum berhenti di lampu isyarat berkenaan.

"Apabila tiba ditempat kejadian kedua-dua kenderaan berhenti di simpang berkenaan kerana lampu isyarat merah, apabila lampu bertukar hijau kedua-dua kenderaan bergerak secara serentak dan berlaku pergeseran di bahagian sisi kiri lori menyebabkan motosikal dinaiki mangsa terbalik dan dipercayai penunggang serta pembonceng digilis kenderaan berat itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, susulan daripada kejadian pemandu lori berusia 49 tahun yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk membuat laporan mengenai kejadian ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 2:56 PM