MOTOSIKAL yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 102.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi. FOTO Ihsan PDRM
MOTOSIKAL yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 102.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi. FOTO Ihsan PDRM
Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tujuh motosikal di Kilometer 102.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan awal pagi, hari ini.

Kemalangan pada 2.35 pagi itu, mangsa yang berusia 15 dan 22 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Difahamkan, ketika kejadian sekumpulan tujuh lelaki yang menunggang enam motosikal Yamaha Y15 dan sebuah Honda EX5 sedang menduga kelajuan di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata siasatan mendapati tujuh motosikal berkenaan ditunggang secara beriringan dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri.

"Akibatnya, dua daripada penunggang motosikal terbabit meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital SUltan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

"Kemalangan turut menyebabkan lima lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan di kaki, tangan serta kepala turut dibawa ke HSAH untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua penunggang motosikal berusia 15 hingga 22 tahun dan tiga daripada mereka termasuk seorang yang meninggal dunia tidak mempunyai lesen memandu.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung dengan motosikal lain yang ditunggang secara melawan arus di Jalan Lencongan Barat, malam tadi.

Difahamkan, dalam kemalangan pada 12.10 tengah malam itu mangsa bersama seorang lagi rakan iaitu wanita berusia 20 tahun menunggang motosikal masing-masing dan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di sebuah pasar raya.

Zaidy berkata, siasatan lanjut mendapati ketika itu mangsa dan rakannya menunggang motosikal dari arah sama iaitu Sungai Jagung menghala Sungai Layar.

"Bagaimanapun, motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 52 tahun datang secara tiba-tiba dari arah bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

"Akibatnya, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya dan lelaki yang menunggang melawan arus masing-masing cedera di muka dan tangan kanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 11:14 AM