Suren (kiri) dan Mohamad Aiman maut selepas terbabit kemalangan malam tadi. FOTO ihsan PDRM
Suren (kiri) dan Mohamad Aiman maut selepas terbabit kemalangan malam tadi. FOTO ihsan PDRM
Safuri Kamarudin


Baling: Dua penunggang motosikal termasuk seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 29 Jalan Sungai Petani-Baling berdekatan Kampung Balik Angin, Kuala Ketil, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam, mangsa, Mohamad Aiman Naim Zubir, 17, dari Kampung Batu Tujuh, Binjul Luar, Kuala Ketil dan P Suren Raj, 33, dari Lorong 9, Taman Seri Wang 1, Kuala Ketil meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Baling (HB).

Pembonceng motosikal iaitu Mohamad Fizduan Mohd Nasri, 20, dari Kampung Batu Tujuh, Binjul Luar, Kuala Ketil dan P Dinesh Raj, 26, dari Taman Seri Wang 1, Kuala Ketil dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani kerana parah di kepala serta badan.

Ketua Polis Baling Superitendan Shariffuddin Yusuf berkata, siasatan awal mendapati motosikal Honda EX5 ditunggang Muhamad Aiman dan rakannya dari arah Baling ke Sungai Petani, manakala motosikal Demak Evo-z yang ditunggang Suren Raj dan adiknya pula dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang Suren Raj dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal yang ditunggang Mohamad Aiman Naim dan rakannya.

"Kedua-dua penunggang parah lalu dihantar ke HB tetapi meninggal dunia ketika dirawat, manakala dua pembonceng pula dihantar ke HSAH kerana parah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 5:17 PM