Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kebakaran di bengkel kenderaan di Pejabat Kejuruteraan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini dipercayai akibat litar pintas dan tiada unsur perbuatan khianat.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, ia berdasarkan siasatan awal yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau turut mengesahkan 10 kenderaan dalam bengkel dan lima buah motosikal berkuasa tinggi yang musnah dalam kejadian itu adalah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang dibaiki dan diselenggara.

"Terima kasih kepada pihak bomba yang cepat tiba sekali gus berjaya berjaya menyelamatkan stor simpanan senjata yang terletak berhampiran bengkel ini selain pejabat yang menyimpan fail dan dokumen penting PDRM.

"Saya dimaklumkan ada berlaku beberapa letupan kecil sebelum kebakaran berlaku dan kita sedang menyiasat perkara itu setakat ini," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di IPK Kedah, hari ini.

Mohd Roze berkata, bangunan bengkel itu sudah lama beroperasi iaitu lebih 40 tahun.

Beliau berkata, siasatan masih dilakukan oleh pihak bomba untuk mencari punca sebenar kebakaran berlaku.

"Bagaimanapun kita bersyukur kerana empat anggota yang bertugas di bengkel ketika kejadian berjaya menyelamatkan diri," katanya.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 4.53 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, BBP Jalan Raja dan dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Jalan Kundor dan Seberang Nyonya bergegas ke lokasi bagi memadam kebakaran.

"Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati berlaku kebakaran membabitkan bangunan bengkel itu.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi terdapat 10 kereta dan lima motosikal berkuasa tinggi terbakar," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran itu membabitkan bangunan bengkel yang 80 peratus musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 11:55 AM
Mohd Roze (kanan) bersama Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon (dua dari kiri) ketika melawat lokasi kebakaran di bengkel kenderaan IPK Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Mohd Roze (kanan) bersama Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon (dua dari kiri) ketika melawat lokasi kebakaran di bengkel kenderaan IPK Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI