LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Baling: Operasi pemadaman sebuah gudang menyimpan barangan runcit di Kawasan Perindustrian Baling di sini yang terbakar malam tadi masih diteruskan hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi masih diteruskan sehingga jam 8.30 pagi, walaupun sudah lebih 10 jam kebakaran berlaku.

"Setakat ini keadaan sudah terkawal namun masih terdapat lagi nyalaan bara api di beberapa tempat dan operasi pagi ini akan diuruskan menggunakan jengkaut untuk proses 'overhoul'.

"Setakat ini jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling dan Kulim Hi Tech masih berada di lokasi untuk mengawal kebakaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, tiada mangsa dilaporkan berada di gudang berkenaan setakat ini.

Beliau berkata, operasi membabitkan pasukan Bomba dari BBP Baling, BBP Amanjaya dan bantuan dari BBP Kulim Hi Tech, BBP Pengkalan Hulu dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Ketil, Kampung Lalang dan Kuala Pegang, polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran bangunan itu melalui bilik kawalan BBP Baling di Taman Anggerik, di sini jam 10.15 malam.

"Kebakaran itu membabitkan gudang Kelas 'A' yang musnah hampir 80 peratus yang menyimpan barangan simpanan runcit," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, api dapat dikawal pada jam 10.54 malam tadi dan kerja pemadaman serta 'overhoul' masih dilakukan di lokasi kejadian sehingga kini bagi memastikan tiada lagi punca api dan asap.

Harian Metro semalam melaporkan sebuah gudang menyimpan barangan runcit di Taman Anggerik, Baling dilaporkan terbakar dan operasi pemadaman dilakukan selepas pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu.

Berita berkaitan:

  • Gudang menyimpan barangan runcit terbakar
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 10:30 AM