Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kebakaran bengkel kenderaan di Pejabat Kejuruteraan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang membabitkan 10 kereta dan lima motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini turut menyebabkan 16 kenderaan milik persendirian terbakar.

Jumlah itu membabitkan 10 kereta yang diletakkan di hadapan bengkel terkena bahang api manakala enam motosikal pula terbakar antara 20 hingga 50 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat litar pintas namun siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk menunggu siasatan dari Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM di lokasi kebakaran.

Katanya, ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian api sudah merebak 70 peratus namun berjaya dikawal dengan cepat sekali gus mengelak merebak ke depoh penyimpanan senjata dan tempat penyimpanan dokumen PDRM yang terletak hampir.

Sayani berkata, tindakan pantas anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja serta dibantu empat jentera dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berjaya mengawal dan memadam api dari terus merebak.

"Semua kereta dan motosikal dalam bengkel itu terbakar 95 peratus manakala bangunan bengkel ini musnah 80 peratus, " katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di IPK Kedah hari ini.

Terdahulu, Sayani turut melawat tempat kejadian bersama Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain dan pegawai kanan IPK Kedah.

Sayani berkata, saksi memaklumkan api dipercayai bermula di tingkat atas sebelah kanan bangunan bengkel itu sebelum letupan kecil berlaku dan bekalan elektrik terputus.

Beliau berkata, empat kakitangan yang berada di bengkel itu ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka berjaya menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 1:39 PM
Sayani (dua dari kanan) ketika melawat lokasi kebakaran di bengkel kenderaan IPK Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Sayani (dua dari kanan) ketika melawat lokasi kebakaran di bengkel kenderaan IPK Kedah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI