Kebakaran yang membabitkan 10 buah kereta dan lima buah motosikal di sebuah bengkel kenderaan di IPK Kedah. FOTO IHSAN BOMBA
Kebakaran yang membabitkan 10 buah kereta dan lima buah motosikal di sebuah bengkel kenderaan di IPK Kedah. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sekurang-kurangnya 10 kereta dan lima motosikal berkuasa besar musnah dalam kebakaran di bengkel kenderaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran pada 4.53 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, BBP Jalan Raja dan dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Jalan Kundor dan Seberang Nyonya bergegas ke lokasi bagi memadam kebakaran.

"Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati berlaku kebakaran membabitkan bangunan bengkel itu.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi terdapat 10 kereta dan lima unit motosikal berkuasa besar terbakar," katanya di sini hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran itu membabitkan bangunan bengkel yang 80 peratus musnah.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian awal pagi itu setakat ini.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 9:16 AM