ANGGOTA bomba yang pengsan dibawa mendapatkan rawatan. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA bomba yang pengsan dibawa mendapatkan rawatan. FOTO ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Seorang anggota bomba pengsan akibat mengalami strok haba selepas melakukan operasi pemadaman kebakaran sebuah bengkel di Jalan Batu Lintang, di sini, pagi tadi.

Berikutan itu, anggota terbabit, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Fafzrin Zulkepli, 30, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu terpaksa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapat rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat kebakaran sebuah bengkel pada jam 9.46 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan jentera pemadam kebakaran dari BBP Tikam Batu dan BBP Sungai Petani tiba di lokasi pada jam 9.52 pagi.

"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kebakaran turut menyebabkan lima kereta dan dua motosikal musnah.

"Seramai 21 anggota dan tiga pegawai bertindak melakukan operasi mengawal dan memadam kebakaran sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.29 pagi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggaran keluasan bengkel yang musnah adalah 80 peratus dan siasatan berhubung punca kebakaran sedang dilakukan.

"Sebaik operasi tamat, komander operasi memaklumkan terdapat seorang anggota BBP Tikam Batu pengsan akibat mengalami strok haba.

"Anggota terbabit kemudian dihantar ke HSAH dan masih dirawat, namun keadaannya dilaporkan stabil," katanya.

Sehingga tengah hari, kerja memadam sisa kebakaran dan pemantauan lokasi masih dilakukan anggotanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 1:22 PM