Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Selepas lima kali berlaku kebakaran misteri membabitkan beberapa bilik di tingkat atas sebuah hotel di pusat bandar raya ini, akhirnya bangunan itu musnah dalam kebakaran, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, ini kebakaran kali keenam dilaporkan bulan ini membabitkan hotel dua tingkat itu.

Beliau berkata, kali kelima hotel itu terbakar adalah pagi semalam yang membabitkan kebakaran 10 peratus di sebuah bilik dan bumbung.

"Namun dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2 pagi tadi, ia membabitkan kemusnahan 90 peratus," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 2.26 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Arizal Mahmud tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati api sedang marak dan operasi pemadaman dilakukan.

"Operasi turut dibantu lapan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran untuk membantu memadam kebakaran dari merebak ke bangunan berhampiran," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, tiada mangsa dilaporkan berada dalam hotel berkenaan ketika kejadian.

Beliau berkata, operasi pemadaman membabitkan hotel dua tingkat kelas C itu dilakukan sehingga selesai dan tamat pada jam 3.58 pagi.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu dan punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 8:27 AM
Sebuah hotel dua tingkat di tengah pusat bandar musnah dalam kebakaran. FOTO IHSAN BOMBA
Sebuah hotel dua tingkat di tengah pusat bandar musnah dalam kebakaran. FOTO IHSAN BOMBA