GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Hanya disyaki mempunyai hubungan dengan lelaki lain, seorang wanita cedera dipukul teman lelakinya.

Tidak cukup dengan itu, wanita berusia 33 tahun itu turut disamun suspek ketika berada di restoran di Mentari Business Park, Rabu lalu.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa yang berada di restoran terbabit didatangi suspek yang tidak berpuas hati sebelum memukulnya dan membawa lari wang tunai, telefon bimbit serta barangan kemas mangsa.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di muka, patah hidung dan lebam di badan.

Dia kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Way kelmarin untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati suspek cemburu selepas mendakwa teman wanitanya mempunyai hubungan dengan lelaki lain dan memukul mangsa dan menyamun barangan miliknya sebelum melarikan diri.

"Kita sudah mengenal pasti suspek dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 4:23 PM