MOHAMAD Fakhrudin (kiri) meneliti bahagian kenderaan curi yang dirampas. FOTO Fariz Iswadi Ismail
MOHAMAD Fakhrudin (kiri) meneliti bahagian kenderaan curi yang dirampas. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Kegiatan lima lelaki termasuk dua warga asing mencuri kenderaan tumpas selepas dua serbuan polis di Desa Mentari, di sini, kelmarin.

Operasi 12.05 tengah hari itu membabitkan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menahan suspek berusia 22 hingga 36 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis turut merampas 13 rangka kenderaan dipercayai dicuri selain beberapa tayar, rim, komponen kenderaan dan tong 'Roll On Roll Off' (RORO) berisi barangan lusuh.

Menurutnya,polis menahan dua suspek sedang meleraikan komponen kereta di tepi jalan.

"Semakan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Sea Park, Petaling Jaya pada 29 April lalu.

"Hasil soal siasat suspek membawa kepada serbuan di sebuah premis barang lusuh haram pada 1.40 tengah hari dan tangkapan tiga lelaki termasuk dua warga asing sedang melerai komponen kenderaan," katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, semakan lanjut mendapati tiga suspek memiliki rekod jenayah dan dadah.

"Polis berjaya menyelesaikan sembilan kes curi kenderaan model lama di sekitar Lembah Klang hasil penahanan suspek.

"Semua suspek direman empat hari hingga 7 Jun ini mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sekatan pergerakan penuh, Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya mengeluarkan 121 kompaun berjumlah RM319,000 atas pelbagai kesalahan dalam tempoh empat hari bermula Selasa lalu.

"Kesalahan tertinggi adalah tidak memakai pelitup muka membabitkan 28 kompaun diikuti tiada penjarakan fizikal (27), tiada kebenaran rentas daerah (19), tidak mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera (17) dan pejabat beroperasi melebihi kapasiti kakitangan dibenarkan (13).

"Lain-lain kesalahan iaitu larangan beroperasi pula dengan empat kompaun dan pergerakan melebihi 10 kilometer (dua)," katanya.

Foto Fariz Iswadi Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 12:29 PM