TANGKAP layar daripada video rusuhan yang berlaku di Sungai Way semalam.
TANGKAP layar daripada video rusuhan yang berlaku di Sungai Way semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Angkara dendam lama, lelaki parah ditetak empat lelaki dalam kejadian rusuhan bersenjata di Sungai Way, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 9.30 malam daripada isteri mangsa yang berusia 33 tahun.

Katanya, wanita itu mendakwa menemui mangsa yang seusia dengannya dalam keadaan parah di belakang badan.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian akibat dendam lama. Sepasukan anggota bertindak antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi dan menahan lelaki 37 tahun di kawasan Sungai Way," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, dua lagi suspek berusia 21 dan 36 tahun pula ditahan di pekarangan pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Katanya, semakan dibuat mendapati dua daripada suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Mereka direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:01 PM