Mohd Roji Kawi


Kuching: Cadangan supaya dibuat satu dokumen baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh dianggap sebagai usul yang mengarut dan tidak masuk akal, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, ini kerana cadangan terbabit seolah-olah gesaan untuk membubarkan negara Malaysia.

Beliau berkata, dokumen sedia ada (MA63) adalah perjanjian yang dipersetujui semua pihak ketika pembentukan Persekutuan Malaysia yang wujud hingga hari ini.

Justeru katanya, jika ada pihak termasuk pemimpin negara masih memerlukan penjelasan lanjut berhubung MA63, mereka boleh merujuk kepada laporan Jawatankuasa Perundingan Solidariti Malaysia.

"Harus difahami, apa yang dituntut Sabah dan Sarawak ketika ini bukanlah untuk merundingkan semula perjanjian sedia ada tetapi menuntut perkara yang sudah dipersetujui.

"Jika kita baca MA63 itu kita boleh melihat di situ letaknya janji-janji untuk menarik Sarawak dan Sabah untuk bersama menubuhkan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban Parlimen Santubong di Stesen Kuarantin Jabatan Pertanian di Bako, di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, antara isi kandungan perjanjian MA63 adalah memberi jaminan pembangunan di Sabah dan Sarawak setara dengan Semenanjung.

"Itulah harapan semua pemimpin kita yang menandatangani MA63 ketika itu seperti Allahyarham Tun Abang Openg, mendiang Tun Jugah, mendiang Datuk James Wong dan beberapa orang lagi.

"Harapan mereka apabila bersama membentuk Malaysia, Sarawak akan menikmati pembangunan yang sama seperti di Semenanjung," katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah mencadangkan agar kepimpinan BN negeri itu mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu sebagai langkah lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri sebagaimana yang termaktub dalam MA63.

Wan Junaidi, yang juga Ahli Parlimen Santubong, menolak cadangan itu sambil menegaskan hak Sabah dan Sarawak termaktub dalam instrumen perlembagaan, termasuk laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

"Semua dokumen berkaitan terkandung di dalam laporan Jawatankuasa Perundingan Solidariti Malaysia dan ia boleh dijadikan rujukan.

"Itulah sebabnya saya membentangkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) di Dewan Rakyat pada 2021 untuk memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia," katanya.

Justeru, beliau menggesa sesiapa yang mencadangkan untuk membentuk Perjanjian Malaysia baharu supaya bersikap terbuka dan merujuk kepada dokumen sedia ada yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

"Bayangkanlah apabila tercetus pergaduhan antara adik-beradik dalam sebuah keluarga dan kemudian mereka meminta agar perkahwinan itu dibubarkan, dan ibu bapa berkahwin semula.

"Adakah itu tindakan yang betul? Sudah tentu tidak," katanya secara berkias merujuk kepada cadangan untuk membuat Perjanjian Malaysia baharu itu.

WAN Junaidi ketika berucap merasmikan Majlis  Penyerahan Lembu Korban P193 Santubong.  FOTO Nadim Bokhari
WAN Junaidi ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Lembu Korban P193 Santubong. FOTO Nadim Bokhari

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 4:31 PM