Mohd Iskandar Ibrahim

Kuala Lumpur: Sebarang cadangan supaya perjanjian baharu diwujudkan bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah pandangan terpesong daripada perjuangan nasionalisme negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, tiada sesiapa boleh mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

"MA63 adalah dokumen suci dan ia bermaksud jika tiada MA63, tiadalah Malaysia. Kalau orang di pedalaman Sabah, mereka berpandangan MA63 ibarat batu sumpah.

"Tiada siapa yang harus mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia. Mana-mana pandangan mencadangkan perjanjian baharu, adalah pandangan terpesong daripada perjuangan nasionalisme negara," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

MAXIMUS Ongkili menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA
MAXIMUS Ongkili menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA

Beliau menjawab soalan Datuk Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang meminta pandangan kerajaan berhubung cadangan oleh beberapa ahli politik mengenai perlunya perjanjian baharu menggantikan MA63.

Maximus berkata, pandangan serta cadangan mewujudkan perjanjian baharu itu amat mengelirukan dan jauh tersasar, selain tidak selaras dengan Perlembagaan negara.

Tegasnya, MA63 sudah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang harus dipatuhi.

"Kita harus memberi tumpuan kepada perkara seperti sama ada apa yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia dipatuhi atau sama ada hak itu masih belum dipenuhi. Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakannya.

"Justeru, kita harus bersatu padu membina kekuatan, keamanan dan perpaduan negara ini demi anak cucu kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 11:45 AM