ABDUL Karim bercakap pada sidang media hari ini. FOTO Melvin Joni
ABDUL Karim bercakap pada sidang media hari ini. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan agar BN Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu sebagai idea gila.

Beliau menegaskan ia bukan perkara yang wajar kerana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah dokumen asas yang penting kepada pembentukan sesebuah negara dan disebabkan MA63 itulah terbentuknya Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kini sebahagian daripada mereka datang dengan idea gila iaitu MA63 baharu. Berapa MA63 yang mereka mahukan?

"Anda tidak boleh menukar dokumen asas seperti itu umpama menukar perjanjian penyewaan yang mana selepas tiga tahun akan ditukar semula.

"Tetapi perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan negara tidak dapat ditukar sembarangan kerana di dalamnya mempunyai semua perkara termasuk terma dan syarat yang dipersetujui kepada pembentukan negara untuk diikuti atau tidak atau adakah kita telah menyimpang daripadanya?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Mohamad agar kepemimpinan BN Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri itu dalam MA63.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, tiada siapa yang patut mengemukakan cadangan sedemikian.

Justeru katanya, Sabah perlu memikirkan semula cadangan itu dengan mengambil kira istilah bahawa pemimpin sama ada di Sabah atau Sarawak atau Semenanjung adalah sementara.

"Selepas ini, dalam 10 tahun atau 20 tahun akan datang, orang lain akan mengambil alih. Patutkah pemimpin baharu bertindak mengubah segala-galanya?

"Jangan fikir hanya kerana ada parti politik seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Umno, merekalah yang menentukan perjanjian itu," katanya.

Menurutnya, daripada meneruskan idea untuk mengubah MA63, pihak berkenaan perlu mengalihkan tumpuan memastikan hak rakyat Sabah dan Sarawak dalam MA63 asal dipatuhi.

"Apa yang mereka patut lakukan ialah perkara-perkara yang telah dipersetujui semasa kita membentuk Malaysia, adakah ia (MA63) telah dipatuhi? Adakah hak itu perlahan-lahan dikurangkan?

"Jika ada, maka perlu ada cara untuk kembali kepada perkara asas yang diambil dalam MA63.

"Jika ada isu berbangkit daripada MA63, maka kita harus memperhalusinya tetapi tidak mewujudkan MA63 yang sama semata-mata untuk menenangkan parti politik sekarang atau pemimpin sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 3:52 PM