NOMBOR plat berkenaan. FOTO Ihsan Polis
NOMBOR plat berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Seorang lelaki yang menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran #playercutoff @_.hamiezan di bahagian belakang mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, lelaki berusia 19 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai itu ditahan di tepi jalan Pasir Puteh, Sik di sini, jam 6 petang.

Beliau berkata, dalam operasi Op Motosikal yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sik, Inspektor Mohamad Yusri Ahmad Adlan bersama sepasukan anggota menahan motosikal jenis Yamaha Y15 itu di lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap nombor enjin dan nombor casis menggunakan sistem Mobile Cops mendapati ia didaftarkan atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 iaitu nombor lain

"Berikutan itu, lelaki yang berasal dari Sik itu ditahan mengikut Seksyen 108 (3)(F) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu pemalsuan nombor pendaftaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdull Razak berkata, kes juga disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan terhadap nombor pendaftaran bertulis.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal terhadap suspek juga mendapati dia bebas dari pengaruh dadah dan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Dalam operasi itu, sebanyak 123 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang membabitkan pelbagai kesalahan," katanya.

Abdul Razak berkata, daripada jumlah itu, 13 motosikal pelbagai jenis disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 9:32 AM