MOTOSIKAL  yang dilaporkan hilang dan ditemui dari empat warga asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Kuala Begia. FOTO IHSAN PDRM
MOTOSIKAL yang dilaporkan hilang dan ditemui dari empat warga asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Kuala Begia. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli

am@hmetro

DUA motosikal iaitu jenis SYM dan Yamaha LC yang dilaporkan hilang di Kulim dan Pulau Pinang ditemui semula selepas polis menahan empat warga asing dalam Op Bersepadu di Kuala Begia, di Sik, hari ini.

Dalam operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik 10 pagi tadi, kedua-dua motosikal yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu dinaiki dua lelaki dan dua wanita Myanmar.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, kesemua mereka berusia 29 hingga 40 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen dan gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan terhadap nombor casis motosikal dan enjinnya mendapati ia dilaporkan hilang di Sungai Karangan, Kulim.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut pada motosikal Yamaha LC pula mendapati ia dilaporkan hilang di Sungai Nibong, Pulau Pinang,” katanya.

Abdul Razak berkata, dua motosikal itu dirampas manakala keempat warga asing berkenaan dibawa ke IPD Sik untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 9:01 PM