SEBAHAGIAN daripada kereta yang disita kerana mengeluarkan bunyi bising dalam Op Bersepadu / Samseng Jalanan di Jalan Alamanda. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN daripada kereta yang disita kerana mengeluarkan bunyi bising dalam Op Bersepadu / Samseng Jalanan di Jalan Alamanda. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Tindakan sekumpulan lelaki berkumpul di kawasan parkir di Jalan Alamanda, di sini dengan mengeluarkan bising kenderaan masing-masing mengundang padah apabila polis menyita 13 buah Proton Wira, dalam operasi malam tadi.

Tindakan mereka turut mengganggu ketenteraman awam ketika bulan Ramadan ini.

Kesemua kenderaan terbabit disita dalam Ops Bersepadu / Samseng Jalanan itu untuk tindakan pemeriksaan bunyi ekzos Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Selain itu, turut disita, tiga buah motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan kerana tiada cukai jalan, tiada lesen memandu serta nombor pendaftaran.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, operasi yang bermula jam 11 malam hingga 2 pagi tadi tertumpu di kawasan berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima.

Beliau berkata, operasi itu disertai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dan turut dibantu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan lain-lain agensi.

"Jumlah saman yang dikeluarkan dalam operasi ini adalah 101 saman termasuk 13 kenderaan dan tiga motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, insuran, nombor pendaftaran, aksesori, cermin sisi dan mengubah suai ," katanya di sini hari ini.

Abdull Razak berkata, jumlah individu yang ditahan dalam operasi ini adalah seramai tiga orang berusia antara 19 hingga 27 tahun yang membabitkan empat kes.

Beliau berkata, antara kesalahan adalah Seksyen 42 (1) APJ 1987 (dua kes), Seksyen 108 (3) (f) 1987 (1 kes) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (1 kes).

"Pemilik 13 kenderaan yang disita berusia antara 20 hingga 35 tahun itu kemudian dibebaskan dengan jaminan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 8:41 AM