Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI kerugian RM3,500, cedera di tapak dan pergelangan tangan selepas ditikam dengan pisau oleh lelaki warga asing yang menyamunnya.

Selain itu, warga asing itu turut melarikan motosikalnya dalam kejadian di Jalan Mini Tar, Kampung Tanjung, Sik, pada 12.15 tengah malam kelmarin.

Mangsa ketika itu bersama anak saudara perempuan berusia enam tahun menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Polis Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata sebaik tiba di lokasi kejadian mereka ditahan suspek tidak dikenali sebelum diserang dengan pisau.

Menurutnya, berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek menikam mangsa.

“Suspek kemudian merampas dan membawa lari motosikal bersama RM1,500 tunai milik mangsa menyebabkan dia kerugian dianggarkan RM3,500.

"Mangsa yang cedera kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sik sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdull Razak berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 (A) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 3:31 PM