SUSPEK ditahan orang awam yang melihat kejadian. FOTO tular
SUSPEK ditahan orang awam yang melihat kejadian. FOTO tular
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Lelaki warga Myanmar dicekup orang awam ketika cuba melarikan sebuah motosikal yang diparkir di hadapan Pasar Mini Anak Yatim, di sini, semalam.

Video berdurasi 23 saat berhubung penahanan lelaki itu dimuat naik di Twitter dan dikesan polis pada jam 2.09 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kejadian berlaku pada jam 4.05 petang semalam.

Beliau berkata, sewaktu pengadu sedang berkerja di pasar mini itu, rakan sekerja memberitahu motosikal jenis Yamaha Y16 yang diparkir di luar kedai diambil orang.

"Pengadu terus keluar untuk melihat dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal miliknya sambil menolak serta memakai topi keledar milik pengadu.

"Berikutan itu, pengadu terus menahan lelaki terbabit dengan dibantu oleh orang awam yang ada di situ.

"Selepas itu, suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdull Razak berkata, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sik melakukan tangkapan semula terhadap suspek di lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, suspek mengaku mencuri motosikal itu untuk dibawa balik ke Pulau Pinang dan hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 9:29 PM