Omar Ahmad


Johor Bahru : Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan saf, bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, namun setiap jemaah yang hadir digalakkan membawa sejadah sendiri.

Katanya pemakaian pelitup muka masih dikekalkan dan jemaah tidak digalakkan bersalaman.

"Aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti Kelas Pengajian Takmir, Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Majlis Zikir dan seumpamanya adalah dibenarkan

"Segala aktiviti memasak dan jamuan adalah dibenarkan dalam kawasan masjid dan surau termasuk aktiviti bermalam.

"Tiada pemeriksaan suhu badan dan tiada had umur hadir ke masjid dan surau, namun sekiranya jemaah mempunyai gejala adalah tidak digalakkan.

"Bagi Majlis Perkahwinan dibenarkan diadakan bagi masjid dan surau yang mempunyai dewan serbaguna," katanya pada sidang media pelaksanaan solat jemaah, aktiviti pengimaranan Masjid dan Surat serta ibadah korban negeri Johor dalam fasa endemik di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Pelaksanaan itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan yang juga Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 2:00 PM