FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan 40 jemaah menunaikan solat Jumaat dan fardu di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, dan surau di seluruh negeri, berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Yang Dipertua Maik yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran pelaksanaan solat berkenaan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu hanya dibenarkan kepada jemaah terdiri daripada kakitangan masjid serta jemaah terpilih sahaja.

Beliau berkata, kakitangan masjid dan jemaah itu wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin selain perlu memakai pelitup muka dan digalakkan memakai dua lapis pelitup muka (double mask).

"Bagi penerima vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, mereka diwajibkan melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua manakala bagi penerima vaksin satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

"Bagaimanapun, aktiviti lain seperti kuliah dan tadarus adalah tidak dibenarkan," katanya menerusi satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, bagi memastikan sistem pengudaraan baik dan selamat, semua pintu, tingkap, dan kipas hendaklah dibuka selain penggunaan pendingin hawa di masjid, surau dan musalla tidak digalakkan.

Menurutnya, tempoh masa aktiviti di dalam masjid, surau dan musalla perlu disingkatkan untuk aktiviti wajib sahaja iaitu satu jam sebelum solat Jumaat dan 30 minit bagi solat fardu.

"Pada masa sama, pengurusan masjid, surau dan musalla hendaklah membuat penandaan antara jemaah dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter selain jemaah perlu membawa sejadah sendiri.

"Pergerakan keluar jemaah selepas solat hendaklah dipastikan teratur mengikut saf solat dan tidak bersesak-sesak serta tidak ada perkumpulan dibenarkan selepas selesai aktiviti di masjid.

"Jawatankuasa bertugas perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP ) dipatuhi jemaah pada setiap masa sama ada semasa masuk masjid, berada di masjid dan semasa keluar masjid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 12:32 AM