GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad


Johor Bahru: Johor membenarkan solat Jumaat mulai esok mengikut kapasiti masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

Dalam kenyataan bersama, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanti; Pengarah Jabatan Agama Islam negeri Johor, Datuk Md Rofiki Samsudin dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, kebenaran itu diberi selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Katanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semua perhimpunan untuk tujuan pengimarahan seluruh masjid dan surau adalah dibenarkan.

"Termasuk kuliah dan Membudayakan al-Quran, bacaan surah Yassin tahlil, solat hajat, solat sunat berjemaah, kelas takmir terhad penceramah dalam daerah sahaja kecuali Pegawai-pegawai Agama Islam Negeri Johor dibenarkan berceramah di semua daerah negeri Johor.

"Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dibenarkan mengikut aktiviti pengimarahan di masjid dan surau. Malah majlis penyerahan bantuan adalah dibenarkan tidak melebihi satu jam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan aktiviti sepanjang bulan Ramadan termasuk solat Tarawih dan aktiviti qiamulail adalah dibenarkan manakala tadarus dan khatam al-Quran dibenarkan tidak melebihi sejam.

"Jamuan berbuka puasa dan sahur di masjid dan surau dibenarkan dan hendaklah disediakan secara berbungkus. Segala aktiviti memasak adalah tidak dibenarkan di kawasan masjid dan surau namun edaran bubur lambuk dibenarkan.

"Kehadiran jemaah hendaklah diberi keutamaan kepada warganegara dan penduduk tetap sahaja.

"Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah fardhu lima waktu serta kegiatan pengimarahan berjalan dengan lancar serta mematuhi semua pekeliling dan garis panduan yang dikeluarkan oleh JAINJ," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 2:23 PM