TINJAUAN harga bekalan ayam, ikan dan sayur di Pasar Chow Kit. FOTO HAZREEN MOHAMAD
TINJAUAN harga bekalan ayam, ikan dan sayur di Pasar Chow Kit. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Meskipun beberapa langkah diambil bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan ayam, stok bahan mentah itu bagaimanapun dikatakan masih belum mencukupi untuk dibekalkan kepada pengguna.

Pekerja gerai makanan, Pramansah Sharul, 32, berkata, bekalan ayam yang diperoleh masih berkurang dengan hanya separuh tempahan dibekalkan kepada pemborong.

"Jika kami tempah empat beg ayam (kira-kira 60 ayam), yang diterima hanya dua beg ayam sahaja.

"Namun begitu, harga ayam dijual lebih murah iaitu harga mengikut harga siling meskipun bekalan tidak begitu banyak," katanya ketika ditemui di Pasar Chow Kit, di sini, semalam.

Peniaga ikan, Muhammad Zaki Junaidi, 35, berkata, pihaknya tidak berdepan masalah kekurangan bekalan ikan.

"Bekalan ikan ada banyak dan harganya juga tiada peningkatan ketara kecuali ikan siakap yang dijual pada harga RM20 sekilogram berbanding RM17 hingga RM18 sekilogram pada minggu lalu.

"Ikan lain seperti ikan tongkol masih dijual pada harga biasa iaitu RM10 sekilogram seperti minggu lalu," katanya yang memaklumkan mendapat bekalan ikan dari Pasar Borong Selayang, di sini.

Sementara itu, pengunjung di Pasar Chow Kit, Fadzli Mohamad Nazir, 36, berkata, bekalan ayam dan ikan sudah mula dilihat stabil di kebanyakan kawasan.

"Ada juga beberapa barang yang dilihat naik harga seperti ikan meskipun bekalan sudah kembali pulih.

"Kenaikan harga barang mentah ini menyebabkan kos sara hidup semakin tinggi. Walaupun harganya (bahan mentah) mahal, namun kita tetap perlu membelinya demi kelangsungan hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 3:32 PM