Ayam bersih yang dijual dengan harga RM9.50 termasuk upah proses dan perkhidmatan ketika tinjauan harga ayam di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ayam bersih yang dijual dengan harga RM9.50 termasuk upah proses dan perkhidmatan ketika tinjauan harga ayam di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Harga ayam segar dijual 60 sen melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90.

Ia hasil tinjauan dilakukan wartawan Harian Metro di Pasar Chow Kit, di sini, hari ini yang mendapati kebanyakan peniaga menetapkan dan memaparkan harga ayam segar dijual pada RM9.50 setiap kilogram (kg).

Kebanyakan peniaga yang ditemukan wartawan memaklumkan harga ayam terpaksa dinaikkan susulan pemborong mengenakan harga jualan tinggi hingga mereka tiada pilihan selain menaikkan harga.

Peniaga ayam, Abdul Latifs Muhammed Tarmidzi, 24, berkata, pihaknya tiada jalan lain selain menaikkan sebanyak 60 sen kerana jika mereka mengikut harga ditetapkan tiada keuntungan diperoleh.

"Harga pada peringkat pemborong dalam RM8.60 sekilogram, apabila kami menjual dengan harga kawalan RM8.90, peniaga tak dapat untung kerana kami juga perlu memikirkan kos lain seperti beg plastik.

"Kenaikan itu dibuat untuk proses upah dan perkhidmatan. Sebelum ini, kami (peniaga) tidak pernah mengenakan caj perkhidmatan tetapi ini merupakan salah satu jalan untuk kami teruskan perniagaan," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, dia terpaksa berdepan rungutan ramai pelanggan disebabkan kenaikan itu namun mereka faham apabila diberikan penjelasan.

Katanya, ini merupakan kenaikan harga paling tinggi untuk ayam standard selain mereka terpaksa mencatu jualan kerana kekurangan bekalan ayam.

Begitu juga peniaga Shahrul Muhammad Saman, 26, yang berkata, isu kenaikan ini 'luar biasa' kerana kenaikan harga sehingga RM9.50 sekilogram tidak pernah berlaku sepanjang dia berniaga.

Katanya, kerajaan harus memantau pemborong supaya dapat mengawal harga ayam ini.

"Sebagai peniaga kami juga mahukan untung dalam perniagaan, tapi apabila pemborong menghantar bekalan dengan harga tinggi, ia turut memberi kesan kepada kami dan pembeli.

"Saya ada mendengar ura-ura yang menyatakan harga ayam naik disebabkan dedak yang kini berharga RM120 seguni. Ada juga yang mendakwa bekalan ayam bakal dihentikan Sabtu dan Ahad ini.

"Disebabkan itu saya telah membuat pesanan bekalan ayam dua kali ganda supaya dapat dibekalkan kepada pengusaha restoran yang biasa membeli dengan saya," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Afifi Idayu Zakaria, 40, dia yang sering kali membeli barangan dapur di pasar berkenaan berkata turut terkesan dengan peningkatan barang basah.

"Sebagai pembeli, semestinya kami ada pilihan lain untuk membeli ayam seperti di pasar raya namun ia berbeza apabila membeli di pasar basah kerana ayam lebih segar.

"Bukan sahaja harga ayam naik, namun peningkatan harga sayur hijau jelas meningkat sebanyak RM1 hingga RM2. Sebelum ini harga sayur sawi dalam anggaran RM5, tapi sekarang boleh mencecah sehingga RM7.

"Saya selalu membeli barangan di pasar ini dan apabila melihat hampir semua barang meningkat, ia sememangnya menjejaskan kehidupan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 1:35 PM