Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Tiada kenaikan harga mendadak membabitkan barangan basah seperti ayam, ikan, daging dan udang.

Ia berdasarkan hasil tinjauan Harian Metro di Pasar Raja Bot di Chow Kit, di sini, hari ini.

Peniaga dikenali Ashmi, 40, berkata, ayam jualannya kekal pada harga RM9.40 sekilogram.

"Sudah dua bulan harga sama, tidak naik atau turun.

"Setakat ini, pelanggan yang datang membeli okay saja dan tiada rungutan daripada mereka," katanya yang sudah berniaga di pasar itu sejak 18 tahun lalu.

Seorang lagi peniaga dikenali Ali, 38, berkata harga daging juga tidak menunjukkan kenaikan sejak selepas Aidiladha yang lalu.

"Sama saja (harga), daging jenis 'top side' dijual pada harga RM23 sekilogram, RM22 untuk 'silver side' dan RM35 sekilogram bagi daging batang pinang.

"Sementara, RM30 ( tulang belakang), RM11 untuk hati dan limpa serta RM17 dan RM12 sekilogram masing-masing bagi paru juga perut," katanya.

Sementara itu, Muhammad Amirul Mohd Amaram, 18, berkata, harga udang paling menunjukkan penurunan berbanding ikan.

"Sebelum ini, udang dijual pada harga RM33 sekilogram namun turun kepada RM26 sekilogram dan hari ini, RM22 saja.

"Ikan yang biasa dibeli pelanggan seperti pari pula kekal harganya dengan RM26 sekilogram manakala kembung baru turun menjadi RM16 sekilogram," katanya yang menetap di Sentul, di sini.

TINJAUAN barangan basah diPasar Raja Bot, Chow Kit. FOTO Fariz Iswadi Ismail
TINJAUAN barangan basah diPasar Raja Bot, Chow Kit. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Pengguna ditemui, Zaiton Jaafar, 62, yang menetap di Taman Sri Gombak, Selangor menyedari tiada kenaikan harga mendadak membabitkan barangan basah di Pasar Raja Bot, di sini.

"Seminggu sekali, saya akan berbelanja barangan keperluan dan sanggup ke sini (Pasar Raja Bot) kerana harganya lagi murah berbanding di Gombak.

"Ayam kampung di Gombak misalnya dijual pada harga RM23 sekilogram tetapi di sini RM17 (sekilogram) saja.

"Udang juga murah, semalam beli di Gombak dengan harga RM45 sekilogram tetapi di sini RM35.

"Jika naik pun tidak banyak dan masih mampu beli lagi," katanya yang juga ibu dua anak.

Seorang lagi pengguna, Mohd Rizamni Haron, 50, pula tidak menafikan ada barangan yang naik dan turun harganya.

"Bagaimanapun, harga di sini murah dan beza berbanding Pasar Harian Selayang yang berhampiran kawasan perumahan saya.

"Beza dalam RM2 ke RM3 namun saya lebih suka berbelanja di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 11:31 AM