Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Polis sedang menunggu perkembangan siasatan berkaitan pemain bola sepak liga tanah air yang didakwa merogol remaja perempuan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 28 tahun itu kini ditahan reman selama empat hari sehingga esok.

Beliau berkata, pihaknya belum lagi membuat keputusan sama ada reman perlu disambung atau tidak.

"Setakat ini kita belum buat keputusan lagi, (siasatan) berdasarkan apa yang kita ada, kalau tak perlu sambung, tak perlulah kerana kes hanya membabitkan mangsa dengan pelaku.

"Bagaimanapun kita akan rujuk apa perkembangan terakhir dan buat keputusan esok sama ada perlu disambung (reman) atau tidak," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

MUHAMAD Zaki ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Media sebelum ini melaporkan, suspek didakwa merogol remaja berusia 18 tahun itu di dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, tengah hari Ahad lalu.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, pada jam 2.30 petang semalam, polis merampas 200 biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM3,000 di Kampung Tal Tujoh, Pasir Mas, dekat sini.

Beliau berkata, rampasan dibuat Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di sebuah tanah perkuburan dan seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan di genggaman tangan kiri lelaki itu menemui plastik lutsinar mengandungi sejumlah pil ekstasi berwarna hijau.

"Kita percaya pil ekstasi itu akan dibawa ke negara jiran memandangkan sempadan sudah dibuka dan dadah itu biasanya digunakan untuk berhibur.

"Ujian saringan ke atas suspek mendapati negatif dadah dan dia juga tidak memiliki rekod lampau.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 5:50 PM