Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Dua lelaki termasuk pelajar Tingkatan Lima yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di Taman Sri Kota, Pasir Pekan, Tumpat, dekat sini.

Dalam serbuan pada 31 Julai lalu, polis menemukan 1,060 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM11,660 dalam beg silang serta poket seluar suspek.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dua lelaki berusia 26 dan 17 tahun itu ditahan ketika sedang duduk atas sebuah motosikal di tepi kedai makan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

"Pemeriksaan lanjut dalam beg silang menemui 60 biji pil kuda, manakala dalam poket seluar pelajar itu terdapat sebanyak 1,000 biji pil yang sama dijumpai dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM11,660.

"Suspek berusia 26 tahun adalah penganggur dan memiliki tiga rekod jenayah atas kesalahan dadah, manakala saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka negatif dadah," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, siasatan juga sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada pelajar itu terbabit secara langsung atau menerima upah untuk 'menjaga line' ketika urus niaga sedang berlangsung.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan guru bagi mengawasi perubahan tingkah laku anak-anak atau pelajar di sekolah termasuk dari segi perwatakan serta penampilan.

Sementara itu, Muhammad Zaki berkata, dua lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan dan merampas pil kuda sebanyak 60,000 biji dalam sebuah kereta di Bukit Tuku, Pasir Mas.

Menurutnya, tangkapan dibuat pada 6.35 petang Khamis lalu itu membabitkan dua suspek yang juga penganggur berusia 29 dan 30 tahun dengan seorang daripadanya memiliki tujuh rekod jenayah bersabit dadah.

"Mereka direman selama seminggu sehingga 10 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Ketua Rampasan pelbagai jenis dadah berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai RM939,330.27 dalam serbuan tiga lokasi di tepi jalan di Taman Sri Kota, Pasir Pekan, Tumpat, di Bukit Tuku, Pasir Mas dan Wakaf Bharu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Rampasan pelbagai jenis dadah berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai RM939,330.27 dalam serbuan tiga lokasi di tepi jalan di Taman Sri Kota, Pasir Pekan, Tumpat, di Bukit Tuku, Pasir Mas dan Wakaf Bharu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 5:15 PM