LEGENSA bola sepak pasukan Manchester United FC (dari,kiri) Wesbrown, Danny Webber pada Sesi bual bicara bersama peminat di sebuah hotel hari ini. Turut hadir, moderator, Khairy Jamaluddin. FOTO BERNAMA
LEGENSA bola sepak pasukan Manchester United FC (dari,kiri) Wesbrown, Danny Webber pada Sesi bual bicara bersama peminat di sebuah hotel hari ini. Turut hadir, moderator, Khairy Jamaluddin. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika mahu melihat bola sepak negara kembali pada zaman kegemilangan, perbaiki terlebih dahulu sistem pembangunan bakat muda negara.

Perkara itu ditekankan bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan prestasi mengecewakan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara di pentas Piala Asia B-23 2024 di Qatar.

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, walaupun terdapat pemain naturalisasi yang membantu kepada peningkatan prestasi skuad kebangsaan namun pembangunan untuk pemain tempatan tidak boleh dilupakan.

"Kalau kita tengok secara jujur dan adil, prestasi pasukan kebangsaan sejak beberapa tahun lalu agak meningkat. Walaupun mungkin pengalaman lepas tak berjaya, tetapi kita lihat secara purata ranking kita naik.

"Kita menang perlawanan yang mungkin sebelum ini susah untuk kita menang, ada kejayaan disebalik program naturalisasi. Namun, kita juga kena beri tumpuan kepada pembangunan pasukan atau pemain tempatan.

"Program naturalisasi ada juga kejayaannya, tetapi kita jangan lupa kepada pembangunan untuk pemain tempatan. Pasukan B-23 agak kecewa baru-baru ini, jadi kena perbetulkan semula dimanakah silapnya.

"Kalau kita tengok kejayaan Indonesia, sangat ketara sekali. Namun, saya fikir (pemain muda) kita ada harapan yang bagus, cuma kita nak kena ada pengurusan yang boleh membawa visi dan melaksanakan visi itu," katanya.

Mengikut rekod, skuad B-23 negara yang dibimbing Juan Torres Garrido tersingkir awal dari saingan Piala Asia B-23 selepas tewas semua perlawanan peringkat Kumpulan D termasuk tunduk 0-2 kepada Uzbekistan, Vietnam (0-2) dan Kuwait (1-2).

Berdasarkan kepada semua perlawanan kumpulan D yang diharungi Malaysia menyaksikan skuad muda negara hanya menjaringkan satu gol dengan dibolosi enam gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:24 PM