ANGGOTA APM memantau lokasi dilanda banjir. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM memantau lokasi dilanda banjir. FOTO Ihsan APM
Juwan Riduan


Beaufort: Sebanyak 36 penempatan penduduk di daerah ini dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Padas yang melepasi paras bahaya, hari ini, susulan hujan berterusan di kawasan hulu khususnya di pedalaman sejak beberapa hari lalu.

Kawasan penduduk yang terjejas itu membabitkan Batu 58, Batu 60, Batu 65, Jempangah, Binunuk, Balibata, Kuarters SEDB Beaufort, Kuarters Kereta Api, Kampung Melati, Lumatai, Kitalabak, Simpang Empat Chan Furniture, Bakalau dan Bingkul.

Selebihnya ialah Kampung Luagan Sanginan, Laboi, Melalugus, Mempagar, Limbawang, Lajau, Lubak, Batandok Lubak, Poring lupak, Kampung Lupak, Tuhu, Lupak Seberang, Sungkadan, Beringin, Lago, Suasa, Kukup, Jabang, Pintas, Mapait, Labi dan Gadong.

Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sungai Padas berada pada paras 8.95 meter setakat 10 pagi tadi berbanding paras bahaya 8.7 meter dari paras laut.

Banjir turut menjejaskan lapan laluan utama di sekitar daerah ini iaitu Jalan Kampung Binunuk, Jalan Kampung Balibata, Jalan Kampung Laboi - Luagan Sanginan, Jalan Kampung Bingkul - Kolej Komuniti, Jalan Kampung Suasa, Jalan Kampung Lago, Jalan Kampung Pintas dan Jalan Simpang Empat Chan Furniture.

Tiga sekolah iaitu Sekolah Agama Negeri (SAN) Suasa, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago dan SK Suasa turut ditutup akibat banjir.

Bagaimanapun, jurucakap APM Beaufort berkata, belum ada pusat pemindahan mangsa banjir dibuka setakat ini.

"APM Beaufort menggerakkan Skuad Delta keluar memantau di kawasan hotspot banjir berikutan peningkatan paras air sungai yang mendadak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 12:35 PM