BANJIR di sekitar daerah Beaufort semakin reda. FOTO Ihsan APM.
BANJIR di sekitar daerah Beaufort semakin reda. FOTO Ihsan APM.
Poliana Ronnie Sidom


HANYA 18 kampung di Beaufort masih digenangi air, manakala banjir di 19 lagi kampung di Membakut sudah pulih sepenuhnya bermula hari ini.

Kini, tinggal 398 mangsa banjir membabitkan 141 keluarga yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Selagon, setakat petang ini.

Antara kampung yang masih dilanda banjir adalah Kampung Bakalau, Balibata, Binunuk, Mapait, Suasa, Kangsa, Kukup, Jabang, Lago, Beringin, Lawa, Berumbai, Betandok Lubak, Bingkulu, Luagan dan Padas Valley.

PPS di Kampung Selagon dibuka semula pada Khamis lalu selepas lima hari ditutup apabila banjir pulih di kawasan berkenaan pada 14 Disember.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, hasil pemantauan di Membakut mendapati sebahagian kawasan terbabit banjir sudah pulih sepenuhnya dan rumah mangsa kini selamat didiami.

“Proses penghantaran pulang mangsa banjir dilakukan ke Kampung Baitam Baru, Baitam Laut, Papas dan Kampung Jambatan Baru bermula 2 petang hari ini.

“Sebanyak 15 jalan yang terputus hubungan di Membakut sebelum ini juga kini boleh dilalui,” katanya.

Setakat 4 petang ini juga, hanya sembilan jalan yang masih terputus hubungan di Beaufort, antaranya Jalan Kampung Simpang Empat Bakalau, Jalan Kampung Binunuk, Jalan Kampung Balibata dan Jalan Lintas Pekan.

Di Tenom, semua 16 PPS diisytiharkan ditutup secara berperingkat bermula semalam hingga 2 petang tadi selepas paras Sungai Padas kembali kepada paras normal.

Seramai 87 mangsa membabitkan 27 keluarga yang berada di tiga PPS pagi tadi sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 4:41 PM