Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sebanyak 97 saman dikeluarkan dalam pemeriksaan motosikal dan kereta yang disita sepanjang Op Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan dijalankan polis pada 1 April hingga kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam operasi terbabit pihaknya turut menyita 53 motosikal dan 25 kereta.

Menurutnya, pemeriksaan keseluruhan kenderaan yang disita dibuat dan sebanyak 97 saman dikeluarkan.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan terhadap motosikal dan 26 saman dikeluarkan kepada penunggang di atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

SARIFUDIN bersama pegawai JPJ memeriksa kenderaan yang disita di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
SARIFUDIN bersama pegawai JPJ memeriksa kenderaan yang disita di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin

"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mengeluarkan 24 saman terhadap pemandu kereta atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan.

"Manakala pemilik kereta Proton Wira yang tular di laman Youtube dikeluarkan notis oleh JPJ dan diarahkan hadir pemeriksaan semula," katanya.

Beliau berkata, JSPT Kuala Lumpur akan terus bekerjasama dengan JAS dan JPJ serta agensi lain bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan jalan raya dan menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 5:11 PM