DERETAN motosikal yang disita menerusi Operasi Motosikal/Samseng Jalanan disimpan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
DERETAN motosikal yang disita menerusi Operasi Motosikal/Samseng Jalanan disimpan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin dan Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Seorang remaja sanggup 'ikat perut' demi membeli dan mengubah suai motosikal semata-mata mahu berlagak dengan rakannya.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu yang mahu dikenali sebagai Roy berkata, dia membeli motosikal Yamaha YZF-R25 berharga RM8,000 dengan duit gajinya yang dikumpul selama hampir setahun.

"Sejurus selepas tamat persekolahan, saya bekerja di pasar raya dan menjadi penghantar makanan untuk membeli motosikal selepas mengumpulnya hampir setahun.

"Gaji saya hanya RM2,200 sebulan dan saya terpaksa ikat perut dengan mengasingkan duit sebanyak RM1,000 sebulan untuk membeli motosikal berkenaan," katanya.

Remaja itu ditemui semasa hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, di sini, hari ini, bagi menuntut motosikal miliknya yang disita dalam Operasi Motosikal/Samseng Jalanan, Sabtu lalu.

Menurutnya, dia kemudian mengubah suai ekzos motosikal berkenaan di bengkel milik kawannya dengan kos RM350.

"Saya tukar ekzos motosikal ini sebab ekzos biasa bunyinya tidak menarik perhatian dan tak kuat.

"Selain itu, ramai kawan saya tukar ekzos dan setiap kali kami lepak, saya rasa macam terpinggir sebab tak ikut trend (ubah suai motosikal)," katanya yang memaklumkan kenderaan miliknya itu disita di Jalan Tun Razak, Sabtu lalu.

Sementara itu, seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Arif, 17, berkata, dia menghabiskan hampir RM900 bagi mengubah suai motosikal Yamaha Y150Z miliknya.

"Motosikal ini adalah hadiah daripada bapa sebagai kenderaan untuk saya ke sekolah. Saya kemudian tukar bahagian ekzos, cermin sisi dan brek belakang untuk 'melawakan' motorsikal.

"Nasib saya tidak baik apabila disaman dan motosikal disita ketika melepak bersama rakan di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

"Hari ini, bapa yang hantar saya ke sini (Balai Polis Trafik Kuala Lumpur) dari Putrajaya untuk tukar semua komponen motosikal yang diubah suai itu," katanya.

Kira-kira 250 orang hadir dan berbaris seawal jam 8 pagi tadi bagi menjelaskan bayaran saman serta menuntut motosikal mereka yang disita di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati kebanyakan pemilik motosikal beratur panjang untuk menunggu giliran menuntut motosikal masing-masing terdiri daripada golongan remaja.

Kebanyakan mereka juga dilihat membawa ekzos untuk dipasang pada motosikal masing-masing selepas menjelaskan bayaran saman serta menjalani pemeriksaan dilakukan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh turut meninjau proses bayaran saman, pemeriksaan dan tuntutan motosikal sita itu.

Sabtu lalu, JSPT Kuala Lumpur mengadakan enam sekatan jalan raya menerusi Operasi Motosikal/Samseng Jalanan di enam lokasi tumpuan termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Sultan Azlan Shah.

Dalam operasi itu, sebanyak 247 motosikal disita dan 628 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ubah suai membabitkan cermin sisi, ekzos dan brek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 3:54 PM