GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebanyak 350 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dan sembilan motosikal disita dalam Operasi Samseng Jalan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan di bandar raya ini bermula Jumaat lalu hingga hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi itu disertai lapan pegawai dan 51 anggota polis bermula 9 malam hingga 4 pagi ini di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

Menurutnya, secara keseluruhan, sebanyak 350 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan sembilan motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

"Dalam operasi itu seramai 13 lelaki berusia 26 hingga 43 tahun ditahan mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, selain itu, seramai lapan lelaki ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, 'superman' serta bersaing.

"Kesemua tangkapan berusia 15 hingga 21 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

"JSPT akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai Polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 1:54 PM