AKSI merbahaya dilakukan penunggang motosikal yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat lalu hingga awal pagi semalam. FOTO ihsan JSPT Kuala Lumpur
AKSI merbahaya dilakukan penunggang motosikal yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat lalu hingga awal pagi semalam. FOTO ihsan JSPT Kuala Lumpur
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 29 lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu kota ini pada Jumaat lalu hingga semalam.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menjalankan beberapa operasi termasuk Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Motosikal di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Genting Kelang, Jalan Raja Laut, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

"Dalam operasi ini, kami menahan 12 lelaki berusia antara 15 hingga 22 tahun yang menunggang dalam keadaan merbahaya dengan melakukan aksi zig-zag, roket, Superman serta bersaing untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selain itu, kami turut menahan 14 lelaki berusia antara 25 hingga 66 tahun mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sarifudin berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang menunggang motosikal disyaki dicuri bersangkut dengan laporan di Sri Damansara, Petaling Jaya.

Katanya, suspek terbabit diserahkan kepada pihak balai berkenaan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Selain itu, kami menahan seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

"Seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang dikehendaki polis atas kesalahan mengikut Seksyen 12(2)(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 bersangkut laporan di Salak Selatan Baru. Suspek itu diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 465 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 17 motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

"Dalam operasi sama yang turut berkolaborasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 13 saman terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Katanya, JSPT akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya di ibu kota ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 11:38 AM