Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang wanita melenting dan memarahi petugas media yang merakam visualnya yang ditahan selepas menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran palsu dalam Op Selamat-19 di Jalan Bangsar, semalam.

Wanita berusia 20-an itu yang menunggang motosikal Yamaha Nouvo LC dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Bangsar ke Sentul.

Pemeriksaan dilakukan terhadap motosikal itu mendapati kedua-dua nombor pendaftaran (depan dan belakang) adalah milik sebuah van.

Bapa saudara wanita berkenaan yang tiba di lokasi operasi kemudian memberi alasan pihak kedai aksesori silap memasang nombor pendaftaran motosikal berkenaan.

Malah, pemeriksaan dilakukan juga mendapati cukai jalan motosikal milik datuk kepada wanita berkenaan sudah tamat tempoh sejak Julai 2019.

 SARIFUDIN  bersama pegawai dan anggota trafik membuat pemeriksaan ke atas motosikal ketika Op Selamat ke-19 sempena Tahun Baharu Cina di Stesen LRT Bangsar menghala Pusat Bandaraya. FOTO Eizairi Shamsudin.
SARIFUDIN bersama pegawai dan anggota trafik membuat pemeriksaan ke atas motosikal ketika Op Selamat ke-19 sempena Tahun Baharu Cina di Stesen LRT Bangsar menghala Pusat Bandaraya. FOTO Eizairi Shamsudin.

Motosikal berkenaan antara 18 kenderaan yang disita dalam Op Selamat-19 yang dijalankan di tiga lokasi secara serentak di sekitar ibu kota ini iaitu Jalan Bangsar, Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang bermula jam 10 malam hingga 4 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak 1,889 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi itu.

"Selain itu, terdapat dua tangkapan dibuat masing-masing bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk serta nombor pendaftaran kenderaan palsu dalam operasi berkenaan.

"Kita juga ada menemui sebuah motosikal yang dilaporkan hilang serta satu tangkapan individu dikehendaki berkaitan kes dadah," katanya pada sidang media di lokasi operasi di Jalan Bangsar, di sini, awal pagi tadi.

SEORANG pesalah trafik tidak dapat mengawal emosi ketika ditahan. FOTO Eizairi Shamsudin.
SEORANG pesalah trafik tidak dapat mengawal emosi ketika ditahan. FOTO Eizairi Shamsudin.

Sarifudin berkata, secara keseluruhan jumlah saman dalam Op Selamat-19 di ibu kota ini sejak 18 Januari lalu sehingga semalam adalah 7,998 saman atas pelbagai kesalahan.

"Sepanjang tempoh itu juga, seramai 28 individu ditahan membabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk (19); samseng jalanan (6) dan nombor pendaftaran palsu (3).

"Pada masa sama, sebanyak 809 kemalangan dilaporkan dengan dua daripadanya adalah kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya)," katanya.

SARIFUDINketika sidang media selepas sekatan jalan raya menerusi Op Selamat ke-19 sempena Tahun Baharu Cina. FOTO Eizairi Shamsudin
SARIFUDINketika sidang media selepas sekatan jalan raya menerusi Op Selamat ke-19 sempena Tahun Baharu Cina. FOTO Eizairi Shamsudin

Beliau berkata, pihaknya turut meletakkan anggota bertugas di enam lokasi kerap kemalangan di ibu kota ini dalam Op Selamat-19.

"Lokasi kerap kemalangan di ibu kota ini adalah Jalan Duta, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Jalan Kuching, Jalan Cheras, Jalan Pahang dan Jalan Syed Putra.

"Justeru, kita menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak kemalangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 11:14 AM