Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 25 individu ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi pada Jumaat hingga awal pagi hari ini.

Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan itu menumpukan beberapa lokasi utama di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak 660 saman dikeluarkan dan 38 motosikal turut disita.

Menurutnya, operasi membabitkan kekuatan 80 pegawai dan anggota itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Seramai tujuh lelaki berusia 16 hingga 18 tahun ditahan kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing.

"Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

ANTARA penunggang motosikal yang dirakam membuat aksi bahaya di ibu kota. FOTO Ihsan JSPT KL.
ANTARA penunggang motosikal yang dirakam membuat aksi bahaya di ibu kota. FOTO Ihsan JSPT KL.

Selain itu, beliau berkata, JSPT menahan 13 lelaki berusia 28 hingga 38 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol mengikut Seksyen 45(A) APJ 1987.

Katanya, lima lelaki berusia 19 hingga 22 tahun pula ditahan masing-masing empat atas kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan dan seorang menunggang motosikal curi.

Dalam pada itu, Sarifudin berkata, JAS pula mengeluarkan 11 saman terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"JSPT akan mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras aktiviti samseng jalanan dalam menjaga keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 11:50 AM
SEKATAN Jalan raya di Jalan Tun Razak dalam operasi malam tadi. FOTO Ihsan JSPT KL.
SEKATAN Jalan raya di Jalan Tun Razak dalam operasi malam tadi. FOTO Ihsan JSPT KL.