MAYAT mangsa. FOTO Rosli Iham
MAYAT mangsa. FOTO Rosli Iham
Rosli Ilham


Dungun: Misteri seorang pemuda yang tidak pulang ke rumah akhirnya terjawab selepas dia ditemukan lemas di sungai di Kampung Tanjung Pagar, dekat sini, semalam.

Mohd Shafeqal Mohd Fadli , 31, yang tinggal di kawasan Perumahan Bukit Tebuk, dekat sini, ditemukan adiknya, kira-kira 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar dari rumahnya, kira-kira 12 tengah hari, pada 26 Mac lalu

Menurutnya, selepas tidak pulang pada hari itu, adik mangsa yang berusia 25 tahun itu dikatakan bertindak mencari mangsa.

"Adik mangsa kemudian menjumpai motosikal milik abangnya itu berada di tepi sungai terbabit, namun gagal menemui abangnya itu.

"Keluarga mangsa terus menyambung pencarian itu dan sekali lagi pergi ke sungai terbabit dua hari selepas itu sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring di kawasan tepi sungai," katanya.

Baharudin berkata, berdasarkan siasatan, polis percaya mangsa lemas ketika mandi di kawasan tepi sungai terbabit.

"Mungkin pada hari pertama pencarian, ahli keluarganya gagal menemui mangsa.

"Polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian dan siasatan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 9:50 AM