Rosli Ilham


Dungun: Mayat pemuda yang lemas ketika mandi di sungai Kampung Rajawali, dekat sini, ditemukan hari ini.

Mayat Ahmad Solihin Ishak, 22, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat jam 9.25 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat ditemukan tersangkut di saluran paip penyedut pasir kira-kira 700 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

"Sebelum kejadian, mangsa ada memberitahu keluarganya untuk ke sungai kira-kira jam 4 petang semalam.

"Kira-kira jam 7 malam, ahli keluarganya mencari di kawasan itu selepas mangsa tidak pulang namun gagal menemuinya," katanya.

MAYAT dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. FOTO Rosli Ilham
MAYAT dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. FOTO Rosli Ilham

Baharudin berkata, keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Daerah Dungun.

"Sebaik menerima laporan, polis, bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) segera melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

"Kita percaya mangsa mandi di kawasan beting pasir dan ketika cuba menyeberang ke sebuah lagi beting pasir, mangsa dipercayai dihanyutkan arus," katanya.

Menurutnya, mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 11:14 AM