MAYAT mangsa lemas dibawa naik sebelum dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. FOTO Rosli Ilham
MAYAT mangsa lemas dibawa naik sebelum dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Mayat nelayan warga Thailand yang terjatuh dari bot di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun ditemukan jam 10.15 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat Toleh Juemae, 31, ditemui kira-kira lima meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Menurutnya, operasi pencarian yang disambung pagi ini membabitkan seramai 51 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA).

"Pasukan PPDA yang melakukan selaman selama 20 minit berjaya menemui mayat mangsa yang berada di dasar sungai sebelum dibawa naik ke jeti LKIM.

"Mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan keluarga mangsa dimaklumkan berhubung penemuan itu," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam tadi, mangsa yang sedang berehat di belakang sebuah bot nelayan yang sedang berlabuh di jeti LKIM dikatakan diserang sawan sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Rakan mangsa, Ariffin Ismail, 56, bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa namun gagal berikutan arus air deras.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 11:40 AM