Anggota Bomba membawa mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. Foto BOMBA
Anggota Bomba membawa mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. Foto BOMBA
Rosli Ilham


Dungun: Seorang remaja ditemui lemas selepas menyelamatkan seorang rakannya ketika mandi di kawasan perkelahan air terjun Tasik Puteri Bukit Besi, dekat sini, pagi tadi.

Mayat Almas Khan Alam Shah, 16, seorang warga Mynmar yang juga pelajar Pusat Tahfiz di Seremban, Negeri Sembilan ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 9.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama tujuh rakan yang belajar di pusat tahfiz yang sama berkelah sambil mandi di situ, kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, ketika sedang mandi, salah seorang rakannya yang berusia 17 tahun lemas yang menyebabkan mangsa segera memberi pertolongan.

"Mangsa berjaya menyelamatkan rakannya yang lemas dengan menolak rakannya itu ke tepi dan mangsa dikatakan dihanyutkan arus sebelum tenggelam ke dasar kawasan air terjun terbabit.

"Rakan mangsa cuba membantu namun gagal berikutan arus deras sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan," katanya.

Baharudin berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) segera bergegas ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba berjaya menemui mayat mangsa kira-kira jam 9.20 pagi pada kedalaman dua meter dan ketika itu mangsa didapati sudah meninggal dunia.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, rakan mangsa yang berjaya diselamatkan itu dihantar ke Klinik Kesihatan Bandar Bukit Besi untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 2:25 PM